Bukan mudah tambah pasukan - Kevin Ramalingam


PENYERTAAN 16 pasukan dalam Liga Super dan 16 pasukan dalam Liga Perdana dilihat sebagai satu perancangan baik untuk jangka masa panjang namun ia sukar untuk dilaksanakan buat masa ini.

Perkara itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam yang menyatakan banyak faktor perlu diambil kira ketika beliau merumuskan Liga Malaysia (Liga M) masih belum bersedia untuk melaksanakan pengurusan 32 pasukan berbanding 24 pasukan yang bertanding ketika ini. 

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, bukan satu perkara mudah untuk menambah bilangan pasukan dalam Liga Super dan Liga Perdana apatah lagi membabitkan hingga 32 pasukan. 

“Sedangkan 24 pasukan buat masa ini pun, ada pasukan yang masih berdepan kekangan untuk memohon pelesenan kelab dan melaksanakan aktiviti komersial. Jadi saya lihat masih jauh untuk melaksanakan perkara ini memandangkan cabaran sebegini yang perlu diselesaikan terlebih dulu.

“Kami juga perlu meneliti kekuatan pasukan baru yang akan melengkapkan slot 16 pasukan itu sama ada benar-benar kukuh dan ada sokongan yang secukupnya supaya boleh terus bersaing bagi memastikan bentuk liga itu dapat dikekalkan. 

“Kami tidak mahu ada pasukan yang sekadar menjadi pelengkap jadual hanya untuk menyaksikan 16 pasukan bertanding dalam Liga Super atau Liga Perdana,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Kevin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus berhubung ‘pembesaran’ Liga Super yang menyaksikan empat pasukan ditambah menjadi 16 pasukan pada musim depan berbanding 12 pasukan masa ini. 

Pada masa sama, Kevin turut mengesahkan bilangan pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana akan terus kekal kepada 12 pasukan untuk musim depan namun beliau tidak menolak ia mampu dilaksanakan satu hari nanti. 

 “Apapun, kami masih belum ada apa-apa keputusan rasmi mengenai cadangan itu pada masa ini tapi saya boleh katakan kami berhasrat untuk menuju ke arah itu. “Perlu ada masa yang benar-benar sesuai khususnya membabitkan kesediaan semua pasukan seandainya cadangan ini mahu dilaksanakan,” tegasnya.

Sumber : Hmetro
Bukan mudah tambah pasukan - Kevin Ramalingam Bukan mudah tambah pasukan - Kevin Ramalingam Reviewed by Wafi on October 03, 2017 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.